Hai Abu Dzar! Sembahlah Allah seakan-akan kamu melihat-Nya, Bila kamu tidak dapat melihat-Nya, yakinilah sesungguhnya Dia melihatmu! (Maksud hadis Rasulullah saw)
Ma’rifatullah bererti mengenal Allah. Mengenal Allah bukan bererti mencari tahu tentang zat-Nya, itu adalah tidak mungkin. Dalam mengenali Allah, Rasulullah saw menyuruh kita memikirkan tentang ciptaan-Nya, tentang tanda-tanda kekuasaan-Nya dengan mengerahkan segala potensi akal, bukan memikirkan zat-Nya.
Khalifah Umar bin al Khattab radhiyallahu ‘anhu suatu ketika lalu di suatu tempat, ia ternampak seorang pemuda yang sedang mengembalakan beratus-ratus ekor kambing, khalifah terpegun akan kerajinan si pengembala, kasih sayangnya dan rasa tanggungjawabnya terhadap binatang gembalaannya.
Khalifah mendekatinya dengan menyamar sebagai bukan khalifah, lalu memanggilnya dan bertanya kepadanya: “Wahai anak muda! Aku sangat tertarik pada kambing-kambingmu, bolehkah aku membeli seekor?
Anak muda itu menjawab: “Tidak boleh tuan, ini bukan kambing saya, ia kepunyaan majikan saya”.
Khalifah mengujinya: “Kalau kamu jual seekor sahaja, tentu majikanmu tidak akan tahu”.
Anak itu dengan cepat merespon: “Fa ainallaah ya sayyid? (Maka, dimanakah Allah hai tuan?)…….
Khalifah terharu dengan jawapan si pengembala dan terpesona oleh takwanya. Ia seorang yang sedar bahawa jika majikannya tidak mengetahui apa yang ia lakukan, pastinya Allah Maha mengetahui, menyaksikan apa yang dilakukan manusia, sekalipun baru lintasan di hati.
Orang yang mengenali Allah mata hatinya celik, dapat merasakan kewujudan-Nya, menyedari pemerhatian-Nya, kebersamaan-Nya. ia tidak buta.
Allah berfirman:
72. dan sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (mata hatinya), maka ia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya.(Surah al Isra’/17)
46. Yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada. (S. al Hajj/22)
Dengan mengenali Allah, hati cenderung untuk selalu mengingati-Nya, timbullah rasa tenteram dan damai, jiwa terasa dekat dengan-Nya, lahir perasaan aman, kerana yakin diri berada dalam perlindungan-Nya, tak ingin berpisah dari-Nya, tumbuh kerinduan kepada-Nya, timbul kecintaan terhadap-Nya, hanyut di dalam penghambaan, hidup penuh kebahagiaan. Kebahagiaan yang bukan bersumberkan kebendaan atau keduniaan.
Bukankah segala benda itu alat, bukankah dunia itu tunggangan? Tidak layak untuk dijadikan matlamat. Kecintaan hanya untuk Allah, tidak boleh ditukar lalu ditujukan untuk selain-Nya, tidak boleh diberikan untuk dunia, kerana itu adalah mala petaka, kehancuran dan kesesatan.
حب الدنيا رأس كل خطيئة
Cinta terhadap dunia itu adalah punca dari segala dosa.
Abu Bakar ash Shiddiiq pernah berdo’a: “Ya Allah jadikan dunia ini di tangan kami, bukan di hati kami!"
Mengenali Allah ialah mengikhlaskan seluruh langkah dalam kehidupan untuk mendapatkan ridha-Nya. Mengenali Allah ialah menjauhi riya’, ujub yang membawa kepada kesombongan, sifat angkuh yang akan memalingkan hidup dari tujuan asalnya iaitu pengabdian diri kepada Allah, penghambaan diri terhadap-Nya sahaja, bukan yang lain-Nya.
56. dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (S. adz Dzariyaat/51)
Katakanlah: “Sesungguhnya shalatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah bagi Allah Tuhan Pencipta sekalian alam……”
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar