Selasa, 13 Oktober 2009

BERDOALAH!

186. dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (S. al Baqarah/2)

Rasulullah saw pernah bersabda: “Doa itu intinya ibadah."
Allah menyukai apabila seseorang bekerja, berjuang untuk mendapatkan sesuatu, ia mengiringi usahanya itu dengan berdo’a. Manusia mesti berusaha, tetapi hasil bergantung kepada keizinan Allah bukan semata-mata disebabkan usahanya itu. Oleh itu jangan malas berdo’a.

60. dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu." (S. al Mu’min/40)

Allah akan memperkenankan do’a hamba, itu adalah janji Allah dan Dia tidak sekali-kali mengingari janji. Jika do’a belum dikabulkan, itu disebabkan Allah lebih mengetahui apa yang baik dan yang tidak baik bagi hamba-Nya, apa yang bermanfaat dan yang mendatangkan madharat bagi hamba-Nya. Pengabulan doa itu pun mengikut kemahuan Allah, bukan kemahuan hamba. Begitu juga masa dan keadaan diperkenankannya doa, ikut kemahuan Allah bukan kemahuan hamba. Jadi itu jangan difikirkan. Teruskan berdo’a, dan tidak berputus asa. Ada juga do’a yang diperkenankan di akhirat kelak, bukan di dunia ini, dan itu adalah lebih baik, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui, bahkan menganggap doanya tertolak.

Allah ada berfirman:
216.”….. dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”(S. al Baqarah/2)

Rasulullah saw bersabda:
“Tiada seorangpun yang berdoa, melainkan Allah pasti akan mengabulkan do’anya itu, atau dihindarkan daripadanya bahaya, atau diampuni sebahagian dosanya selama ia tidak berdo’a untuk sesuatu yang menghala kepada dosa atau untuk memutuskan hubungan keluarga."

Teruskanlah berdoa, Allah suka hamba-Nya banyak berdoa, dan lakukanlah muhasabah diri, untuk membersihkan kekotoran yang menghalang pengabulan doa.

Rasulullah saw bersabda:
“Allah Ta’ala itu baik, tidak menerima sesuatu kecuali yang baik, dan Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin sepertimana yang Dia perintahkan kepada kepada para rasul, maka Allah berfirman: “Wahai para rasul makanlah dari segala sesuatu yang baik dan lakukanlah amalan yang baik”. Dan juga berfirman: “Hai orang-orang yang beriman, makanlah dari apa-apa yang baik dari apa yang telah Kami rezkikan padamu."

Kemudian baginda saw menceritakan tentang seorang lelaki yang telah jauh perjalanannya, berambut kusut berdebu, ia menadahkan kedua tangannya ke langit dan berkata: “Wahai Tuhan, wahai Tuhan!, sedang makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan ia dikenyangkan dengan barang yang haram, maka bagaimana mungkin akan diterima permohonannya."

Ada sepuluh sebab kenapa doa itu tidak diterima:
1. Kamu mengaku mengenali Allah tetapi kamu tidak memenuhi hakNya.                                            
2. Kamu mengaku mencintai Rasulullah tetapi kamu tidak pernah mengikuti sunahnya.
3.Kamu membaca al-Quran tetapi  kamu tidak mengamalkan isi kandungannya.
4. Kamu mengaku bahawa syaitan adalah musuh kamu tetapi kamu patuh padnya.
5. Kamu berdoa memohon dijauhkan api neraka tetapi kamu mendekatinya dgn selalu membuat maksiat.
6. Kamu berdoa semoga dimasukkan ke dalam syurga tetapi kamu tidak berusaha untuknya.
7. Kamu mengetahui bahawa kematian itu pasti, tetapi kamu tidak bersiap sedia untuknya.
8. Kamu selalu membuka keaiban saudara kamu tetapi kamu tidak melihat keaiban dirimu sendiri.
9. Kamu memakan segala rezeki dan nikmat Allah tetapi kamu tidak mahu mensyukurinya.
10. Kamu mengebumikan orang yang meninggal dunia tetapi kamu tidak mengambil iktibar darinya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar