Selasa, 13 Oktober 2009

TAWAKKAL

“Tenangkan dirimu!, apa yang menjadi urusan Allah (mencukupkan rezki untukmu), itu bukan kerja kamu.”

Esok nak makan apa?, Nak kahwin, wang dari mana? Kalau punya anak, macam mana nak bagi makan?,  Kalau dah ada anak banyak, kena beli rumah pula, kena ada kereta besar pula? Dari mana nak dapat duit? Dan untuk pendidikan mereka kalau dah besar nanti, macam mana pula?

Memikirkan berbagai perkara yang belum terjadi seperti di atas akan melahirkan kerisauan di dalam fikiran dan jiwa manusia, itu jika dibiarkan akan membuka peluang bagi syaitan menghakis keimanan dan melemahkannya.

Ketahuilah bahawa semua keperluan itu adalah urusan Allah, Dia yang telah menciptakan segala makhluk, Dia juga telah menyediakan untuk semua makhluk itu rezkinya.

6. dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk Yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah Yang memberi rezkinya”. (S. Hud/11)

Jadi janganlah risau, apa yang perlu ialah kembali kepada Allah, bertawakkal kepada-Nya dengan sebenar-benar tawakkal, pasti Dia akan selesaikan apa-apa yang merupakan urusan-Nya.

Rasulullah saw telah bersabda:

لو انكم تتوكلون على الله حق توكله لرزقكم كما يرزق الطير نغدوا خماصا وتروح بطانا
“Seandainya kamu semua bertawakkal kepada Allah dan berserah diri sepenuhnya, maka kamu akan mendapat rezki sepertimana burung-burung mendapatkannya, di waktu pagi dalam keadaan lapar dan kembali dalam keadaan perut kenyang”. (HR. Imam Tirmizi)

Allah juga berfirman:
3. Dan (ingatlah) Barangsiapa yang bertawakkal (berserah diri) kepada Allah, maka Dia akan mencukupi keperluannya”.. (S. ath Thalaq/65)

Itulah keyakinan, asas yang kukuh, untuk dijadikan prinsip hidup, yang dengannya akan akan didapati  ketenangan.

Dengan ketenangan jiwa itulah, kehidupan dibina berpandukan ajaran Allah dan tauladan Rasul-Nya, hingga ke garis penamat! Ke hari perjumpaan dengan Allah. Itulah sebenarnya erti kebahagiaan, selain di dunia, juga di akhirat yang merupakan cita-cita setiap manusia.

Allah berfirman:
27-30. "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaKu yang berbahagia - dan masuklah ke dalam syurgaKu! "(S. al Fajr/89)

Allah berfirman:
“Sesungguhnya Allah itu tidak akan mengingkari janjinya”.

“Rasulullah saw. Bersabda, Allah Taala berfirman:
“Aku sesuai dengan persangkaan hamba-Ku terhadap-Ku dan Aku selalu bersamanya ketika dia mengingat-Ku. Apabila dia mengingat-Ku dalam dirinya, maka Aku pun akan mengingatnya dalam diri-Ku. Apabila dia mengingat-Ku dalam suatu jamaah manusia, maka Aku pun akan mengingatnya dalam suatu kumpulan makhluk yang lebih baik dari mereka. Apabila dia mendekati-Ku sejengkal, maka Aku akan mendekatinya sehasta. Apabila dia mendekati-Ku sehasta, maka Aku akan mendekatinya sedepa. Dan apabila dia datang kepada-Ku dengan berjalan, maka Aku akan datang kepadanya dengan berlari.”

Di antara serangan Iblis terhadap manusia ialah menanamkan rasa takut dan bimbang yang berlebihan, sehingga manusia terkena penyakit “Wahn” iaitu cinta dunia dan bencikan mati. Maka bermulalah ia memberi bahagian masa yang lebih untuk dunianya, memikirkan dunia, mencintai harta benda secara berlebihan dan mengejarnya, sehingga lupa Tuhan, lalu meninggalkan kewajipan dan lari dari tanggung jawab.

Rasulullah saw bersabda:
“Syaitan duduk menghalang anak Adam dalam tiga tempat; Ia duduk menghalanginya dari memeluk Islam. Ia berkata: “Adakah engkau mahu memeluk Islam dan meninggalkan agamamu dan agama datuk nenekmu? Tetapi ia tidak peduli dan memeluk Islam. Kemudian syaitan duduk pula menghalanginya dari berhijrah dengan berkata: “Adakah engkau hendak berhijrah?, mana boleh engkau meninggalkan tanah air dan langitmu? Tetapi ia tidak menghiraukan dan berhijrah. Kemudian syaitan duduk pula menghalanginya dari berjihad. Ia berkata: “Adakah engkau akan berjihad? (Adakah patut) engkau merosakkan diri dan harta sendiri?, kelak engkau bertarung dan terbunuh, isterimu dikahwini orang dan harta-hartamu dibahagi-bahagikan. Tetapi ia tidak pedulikan dan ia pun berjihad. Rasulullah saw menyambung sabdanya: “Maka barangsiapa yang (teguh pendirian) berbuat demikian maka wajiblah Allah memasukkannya ke dalam surga.” (HR. Nasa’i)

Miliki kemahuan keras untuk selamat dunia akhirat, jangan terpedaya dengan rayuan syaitan, dan lawan kehendak nafsu dengan perkara-perkara berikut:
1. Perbanyak dzikrullah
2. Isi kehidupan dengan pengabdian kepada Allah hingga ajal menjemput.
3. Sedarilah bahawa Allah telah menyediakan rezki untuk semua makhluk-Nya.
4. Sesungguhnya dunia adalah tempat persinggahan sementara.
5. Dunia akan fana.
6. Kita diciptakan Allah agar menjadi hamba kepada-Nya.
7. Serahkan segala permasalahan hidup kepada Allah, semua akan selesai.
8. Rezki, ajal, ketentuan baik atau buruk setiap diri kita sudah ditentukan oleh Allah.
9. Bertakwalah kepada Allah dimana pun kamu berada, niscaya Dia memberi jalan keluar.
10. Iringi setiap usaha dengan do’a, niscaya Allah akan memberi pertolongan-Nya.
11. Segala musibah adalah dengan izin Allah, tentu ada hikmahnya, terimalah dengan ridha.

Fikirkan apa yang mesti kau buat untuk mendapat janji Allah, kebahagiaan di akhirat, jangan kau menyibuk memikirkan apa yang sudah Allah sediakan untuk kehidupanmu di dunia!

Tidak ada komentar:

Posting Komentar